02/10/2022
YB Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan telah
menghadiri majlis perasmian Pejabat Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia (KIKSM) di Dataran Senawang hari ini.
Dalam ucapannya YB Khairy Jamaluddin bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia (KIKSM) di atas usaha merealisasikan impian profesion Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) dan Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) berhubung bangunan pejabat bagi kegunaan urusan rasmi dan aktiviti berkaitan KIKSM.
Profesion PKP dan PPKP adalah sinonim dengan tugasan berkaitan kesihatan persekitaran sejak sebelum kemerdekaan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mendefinisikan āKesihatan Persekitaranā sebagai merangkumi semua sudut kesihatan manusia dan penyakit yang ditentukan oleh faktor-faktor persekitaran. Secara teori dan amalan, kesihatan persekitaran adalah penting bagi menilai dan mengawal faktor-faktor persekitaran yang berpotensi menjejaskan kesihatan awam.
Faktor-faktor persekitaran ini meliputi faktor alam sekitar, bahan-bahan kimia, biologi luaran kepada manusia dan juga faktor lain yang mempengaruhi tingkah laku manusia. Dalam ertikata lain, kesihatan persekitaran disasarkan kepada pencegahan penyakit dan mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada kesihatan.Impak kesihatan persekitaran kepada komuniti.
Profesion ini memainkan peranan dan impak besar di dalam sistem penyampaian kesihatan di Malaysia. Antara sumbangan PKP/PPKP adalah:
a. Mengawal penularan penyakit malaria sejak tahun 1960 sehingga 1980 menerusi Rancangan Pembasmian Malaria [Malaria Eradication Programme (MEP)]
b. Mengawal penyakit bawaan air dan makanan seperti kolera, disentri, cirit-birit dan demam kepialu di luar bandar menerusi pembinaan Sistem Pelupusan Najis, Pembinaan Telaga Sanitari dan Pelulusan Sisa Pepejal di bawah Rancangan Kebersihan Alam Sekeliling Luar Bandar [Rural Environmental Sanitation Programme (RESP)].
c. Menyampaikan bekalan air selamat bagi masyarakat luar bandar dengan pembinaan projek Gravity Feed System, Telaga Sanitari, Telaga Sambungan Ke Rumah di bawah Program Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS).
d. Menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005 di pintu-pintu masuk negara bagi mengawal kemasukan penyakit-penyakit kuarantin seperti Hawar (Plague) dan Demam Kuning (Yellow Fever). Sehingga kini negara kita kekal bebas dari penularan penyakit Demam Kuning dan Hawar.
e. Menangani krisis keselamatan makanan yang diimport seperti :
- daging, hasilan susu dan telur yang dicemari dengan dioxin tahun 1999; dan
- pencemaran 3MCPD dalam kicap dan bahan perisa pada tahun 2000.
f. Menguatkuasakan dan bertindak sebagai pegawai pendakwa bagi undang-undang kesihatan awam.
Terkini, PKP dan PPKP juga bertindak sebagai frontliner yang bertanggungjawab dalam mengawal dan mengekang pandemik COVID-19 yang telah melanda negara. Peranan PKP dan PPKP sangat penting bermula dari saringan di pintu masuk antarabangsa, siasatan kes positif dan kontak kes, pengesanan kontak, pemantauan arahan kuarantin, pengurusan jenazah kematian COVID-19 seterusnya penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342].
Sehubungan itu, sebagai salah satu usaha Kerajaan dalam meningkatkan kesihatan termasuk kesihatan persekitaran di Malaysia, KKM telah melaksanakan Agenda Nasional Malaysia Sihat atau ANMS.
ANMS merupakan satu tawaran baharu (new deal) bertujuan menjadikan rakyat Malaysia Sihat Sejahtera dengan pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat melalui pelaksanaan teras-teras ANMS.
Teras Ke-empat ANMS mensasarkan KEBERSIHAN PERSEKITARAN melalui pemupukan budaya kebersihan persekitaran untuk kesejahteraan kesihatan rakyat. Rakyat bersama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran untuk memastikan persekitaran bersih dan bebas penyakit.
Saya menyeru semua PKP & PPKP menyahut seruan kerajaan dan melaksanakan dasar ini dengan pengetahuan, pengalaman serta kepakaran bagi mencapai hasrat kerajaan.
KKM mengambil maklum pihak Jabatan Perkhidmatan Awam telah menggariskan skop tugas teknikal PKP dan PPKP adalah berkaitan pencegahan risiko kesihatan persekitaran, penggalakan dan perlindungan kesihatan awam dan persekitaran dalam bidang-bidang yang berikut; kawalan penyakit, kebersihan dan keselamatan makanan, perumahan dan kesihatan persekitaran, kawalan vektor, kualiti air minuman, sanitasi air, kesiapsiagaan kecemasan dan menguatkuasakan undang-undang kesihatan awam. selaras dengan peranan dan fungsi sepertimana yang ditetapkan oleh Expert Committee to the World Health Organisation Report No.79 atau pindaan-pindaannya.
Kementerian berpandangan dengan komitmen dan iltizam keluarga PKP dan PPKP dalam melaksanakan amanah ini akan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan persekitaran di lapangan.
Pihak KKM sentiasa menambahbaik skim perkhidmatan PKP dan PPKP dengan mengadakan rundingan bersama pihak berkepentingan profesion ini seperti kesatuan, ketua profesion, Anggota Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu yang mewakili PKP dan PPKP, Ketua Perkhidmatan dan Ketua Program.
Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengiktiraf Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia yang disambut pada 26 September setiap tahun. Justeru itu, kementerian sentiasa menghargai sumbangan pengamal kesihatan persekitaran di Malaysia khasnya PKP dan PPKP dan sambutan sebegini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
KKM juga telah mewartakan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu yang bertujuan untuk mengawal selia amalan profesion-profesion kesihatan bersekutu dan skim perkhidmatan PKP dan PPKP juga antara skim yang tersenarai di bawah akta ini.
Di samping itu, KKM komited dan sentiasa menambahbaik skim perkhidmatan PKP dan PPKP dengan mewujudkan skim bersepadu. Melalui pewujudan skim bersepadu ini, kenaikan pangkat dari kumpulan pelaksana ke kumpulan Pengurusan dan Profesional dapat dilaksanakan.
KKM sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan aktiviti penguatkuasaan kesihatan awam dengan menambah baik imej dan sistem penyampaian penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam bagi bagi melindungi kesihatan orang awam.
Turut hadir YBhg. Datuk Harjeet Singh, Ketua Setiausaha, KKM, YBhg. Tan Sri Dato' Seri Dr. Noor Hisham Bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Nurhayati Binti Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, YBhg. Dato' Hj. Adnan Bin Mat, Presiden CUEPACS, YBrs. Encik Mohd Zool Asmani Bin Mahmood, Presiden Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia. YBrs.,Dr. Nik Jasmin Binti Nik Mahir, Pengarah, Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam, KKM. YBhg. Datoā Dr. Harlina Binti Abdul Rashid, Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan,
Encik Hasnainin Bin Hassan
Ketua Profession PKP/ PPKP Kebangsaan, KKM, Puan Norhayati hi BT Abdul Rashid, Pengerusi Majlis Presiden Kesatuan Gabungan KKM (MAPSU).